20140705

BAGAIMANA MEMILIH KAYAK SIT ON TOP.


Kayak sit on top adalah satu revolusi dari kayak tradisional (sit in). Kayak ini jenis terbuka (tanpa deck) bermaksud ia tidak memerlukan kemahiran gulungan bila kayak terbalik dan tidak perlu memakai spray skirt. Kelebihan utama kayak jenis ini adalah air tidak bertakung dan amat mudah bagi anda untuk masuk semula ke atas kayak jika terjatuh ke dalam air.

Bagaimana memilih kayak sit on top yang sesuai untuk anda?

Antara perkara yang perlu anda fikirkan adalah bentuk kayak, solo atau berdua (tandem), muatan barangan, berat dan saiz, serta kos.

BENTUK KAYAK.
Bentuk kayak amat penting. Tanya diri sendiri anda mahukan kelajuan? kestabilan? mudah untuk membelok? kayak sit on top saiz panjang? pendek?. Itu semua memainkan peranan bagi mendapat kepuasan maksima dalam berkayak.

Secara kebiasaannya, kayak sit on top yang panjang lebih laju namun lebih sukar untuk membelok. Begitu juga sebaliknya, kayak pendek lebih mudah membelok namun kurang dari segi kelajuan dan kemampuan memotong air.

Kayak yang lebar lebih stabil namun kurang laju berbanding kayak yang kurang lebar. Kayak yang lebar sesuai bagi pemancing kerana ia stabil dan luas.
 Ciri 'rocker' juga memainkan peranan. Rocker bermaksud bentuk kecondongan bow dan stern. Jika lihat dari sisi, hull kayak yang lebih rocker kelihatan seperti pisang dan kayak yang kurang rocker kelihatan seperti sebatang kayu lurus. Lebih rocker bermaksud mudah membelok tapi kurang daya membelah air (tracking), begitu juga sebaliknya. Kurang rocker membuatkan kayak anda mudah untuk dayungan lurus, tapi berat untuk membelok. Mana satu yang lebih baik? Terpulang kepada citarasa anda. Saya lebih suka menggunakan kayak yang mempunyai rocker sederhana, tidak terlampau atau terlalu kurang


KAYAK SOLO ATAU BERPASANGAN?
Jika anda mempunyai pasangan atau rakan yang gemar berkayak, kayak tandem (2 tempat duduk) adalah terbaik. Jika tidak, kayak solo (1 tempat duduk) adalah pilihan tepat. Bagi saya, sebagai pengemar aktiviti kayak, kayak solo adalah wajib. hehe. Kayak tandem boleh dikendalikan seorang sebenarnya, cuma berat sedikit kerana anda tidak duduk ditengah-tengah seperti mana kayak solo.

MUATAN BARANGAN.
Jika anda ingin berkayak ekspedisi yang perlu bermalam, keluasan kargo kayak perlulah diambil kira. Memang ohsem jika dapat membawa semua kelengkapan ekspedisi dalam satu kayak. Selalunya kayak memancing sit on top mempunyai muatan yang luas. Jika anda sekadar ingin beriadah tanpa bermalam, muatan kayak bukanlah suatu faktor penting.

BERAT DAN SAIZ.
Pendayung sering terlepas pandang perkara ini semasa membeli kayak. Jika anda sentiasa berkayak berdua atau lebih, anda tidak perlu risau bagaimana untuk mengangkat kayak ke atas bumbung kereta. Namun jika anda sering kayak bersorangan, ini faktor yang perlu diambil kira. Memang tidak terasa berat kayak apabila berada di atas air, namun di darat berbeza. Apatah lagi jika anda tinggal di apartmen. Bayangkan anda mengangkat kayak dari kereta ke rumah anda menggunakan lift atau tangga. Memang horror. Malah ia boleh memberi kesan pada pinggang jika beratnya itu melampaui kemampuan anda.

Tempat untuk menyimpan kayak juga perlu anda fikirkan. Semakin besar dan panjang sesebuah kayak, semakin luas ruang yang diperlukan untuk menyimpannya. Jika anda mempunyai ruang simpanan yang sempit, anda boleh buat rak kayak pada dinding. Atau anda boleh pilih kayak yang bersaiz kecil, atau anda boleh dapatkan kayak jenis foldable atau inflatable.

KOS
Kayak Sit On Top mempunyai pelbagai jenama dan rekabentuk. Oleh itu ia mempunyai perlbagai harga mengikut spesifikasi tersebut. Jika anda mengemari sesebuah kayak namun ia melampaui budget anda, apa kata beli kayak yang murah sedikit sebagai permulaan. Yang penting anda dapat mendayung tanpa berlengah. Ia lebih baik dari tidak mendayung langsung dengan alasan budget. Jika ada rezeki, anda boleh upgrade ke kayak yang lebih power di kemudian hari.

2 comments:

  1. Sharifah Az OutdoorJuly 5, 2014 at 5:07 PM

    Tips yang menarik dan jujur. Saya suka :)

    ReplyDelete